SEREMBAN, 28 Februari 2025 – SM Teknik Tuanku Jaafar terus mengharumkan nama dalam bidang inovasi apabila pasukan pelajarnya berjaya meraih kecemerlangan dalam pertandingan inovasi STEM peringkat antarabangsa 2025.
Tiga murid SM Teknik Tuanku Jaafar iaitu Muhammad Naqib Mikail bin Mohamad Najib, Nur ‘Ain Raihanah binti Ahmad Nzryshah dan Noorul Aqil Zahirah telah membentangkan satu projek inovasi yang diberi nama sebagai Wanderlust. Berikut adalah permasalahan yang dikenalpasti oleh Jaafar Innovators: terdapat banyak kes keracunan berlaku dalam kalangan kanak-kanak, terdapat masalah pengurusan sisa makanan seperti kulit durian dan uncang daun teh hijau, kenaikan kanser kulit disebabkan terdedah kepada sinar ultraungu yang tidak dapat diatasi akibat daripada kekurangan antioksidan di kulit. Oleh itu Jaafar Innovators mengambil langkah menghasilkan Wanderlust iaitu sebuah sabun pencuci tangan berbentuk tablet yang larut dalam air, dihasilkan menggunakan ekstrak kulit durian dan ekstrak daun teh hijau.
Gabungan ekstrak durian dan daun teh hijau menghasilkan ekstrak yang bersifat antioksidan dan antibakteria. Hasil kolaboratif bersama Institusi Atta-Ur-Rahman, Universiti Teknologi Mara Puncak Alam membuktikan bahawa gabungan ekstrak tersebut mempunyai sifat antioksidan dan antibakteria yang lebih tinggi berbanding ekstrak kulit durian serta ekstrak daun teh hijau disebabkan peningkatan sebatian flavonoid dan fenolik. Gabungan ekstrak tersebut juga mampu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen kulit yang seringkali menyebabkan keracunan makanan iaitu Escherichia coli, Staphylococcus aurus dan Pseudomonas aeruginosa.
Sabun ini dihasilkan di dalam bentuk tablet yang larut dalam air supaya sabun tersebut digunakan sekali dan mudah dibawa ke mana-mana. Sabun ini disimpan dalam pembungkusan mampan, terdiri daripada 30 tablet dan dijual dengan harga RM 6. Pek isi semula mesra alam yang mengandungi 30 tablet turut dijual dengan harga RM 3, bagi mengurangkan penggunaan plastik. Keunikan sabun ini berbanding sabun lain menjadikan Jaafar Innovators merangkul Gold Award, Top 10 Award dan Best Environmental Award di World Youth STEM Invention Innovation peringkat antarabangsa yang diadakan pada 23 higga 27 Februari 2025 di Medan, Indonesia serta Top 30 Professional Project di Pertandingan Inovasi Sains Teknologi Kejuruteraan peringkat kebangsaan yang diadakan di Multimedia Universiti Cyberjaya pada 3 hingga 6 Februari 2025.
Guru pembimbing Jaafar Innovators, Puan Ainul Inayah Hamzah telah membentangkan amalan terbaik ini di di World Youth STEM Invention Innovation peringkat antarabangsa yang diadakan pada 23 hingga 27 Februari 2025 di Medan, Indonesia. Amalan terbaik ini bertajuk Hubungan Luar Dalam Pembudayaan STEM Menjadi Pemangkin Kemenjadian Murid dan Guru Menguasai Kimia. Hasil pembentangan itu, beliau merangkul Gold Award dan Top 25 Award. Tambahan lagi, beliau turut dianugerahkan Gold International Teacher Award atas kecemerlangan beliau dalam bidang Inovasi STEM sepanjang beliau bergelar guru.
Menurut Puan Ainul Inayah Hamzah, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih pelajar dan bimbingan berterusan daripada pihak sekolah serta Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional. “Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan bahawa pendidikan STEM mampu melahirkan inovator muda yang kreatif dan berdaya saing,” katanya. Sementara itu, pengetua sekolah, Ts Sudiman bin Musa menyatakan bahawa pencapaian ini memberi motivasi kepada pelajar lain untuk terus berinovasi dan meneroka bidang sains dan teknologi. “Kami akan terus menyokong pelajar dalam menghasilkan projek inovatif yang memberi impak kepada masyarakat,” tambahnya.
Dengan kejayaan ini, SM Teknik Tuanku Jaafar membuktikan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional bukan sahaja mampu melahirkan tenaga mahir, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi yang berdaya maju. Akhir kata, semoga Wanderlust menjadi produk SM Teknik Tuanku Jaafar yang lebih dikenali pada masa akan datang agar Jaafar Innovators terus terbang tinggi dan cemerlang di mata dunia.




