BEIJING: Pencapaian cemerlang bidang inovasi peringkat antarabangsa dan kebangsaan memberi kelebihan kepada pelajar SM Teknik Tuanku Jaafar (SMTTJ). Tech Sorcerers yang dianggotai oleh dua pelajar SMTTJ iaitu Muhammad Naqib Mikail bin Mohamad Najib (4PD1) dan Bazli Nafis bin Badrul Hisham (4KM1) mewakili Negeri Sembilan, Malaysia bertanding di Beijing, China pada 7 – 13 November 2024 lalu.
Projek yang dihasilkan iaitu Intellichair, sebuah kerusi roda yang dilengkapi dengan empat sistem elektronik iaitu sistem GPS bagi mengesan lokasi, sistem pengesan degupan jantung, sensor mengesan halangan di hadapan kerusi roda serta butang kecemasan. Hasil respon dari sistem elektronik ini akan dihantar kepada ahli keluarga menerusi aplikasi dalam telefon pintar mereka. Tambahan lagi, sistem elektronik ini akan dicas menggunakan powerbank yang telah diprogramkan.
“Kami tidak pernah membayangkan untuk meraih pingat perak kerana bukan mudah untuk kami sampai ke peringkat antarabangsa namun ternyata rezeki kami untuk berjaya sampai ke Beijing dengan berkat sumbangan dana serta sokongan dari pelbagai pihak (ADUN Ampangan, BPLTV serta PIBG SMTTJ). Walaupun tidak berpeluang menerima pingat emas, namun kami tetap bersyukur atas kejayaan yang kami peroleh sehingga kami berjaya mengukir nama SMTTJ cemerlang di mata dunia”.
Pertandingan tersebut mempertandingkan pelbagai kategori yang disertai oleh lebih 50 buah sekolah dari Malaysia dan China.